Khamis, 5 Januari 2023

𝗞𝗜𝗦𝗔𝗛 𝗔𝗞𝗨 𝗗𝗔𝗡 𝗦𝗖𝗔𝗠𝗠𝗘𝗥 (𝗙𝗶𝗻𝗮𝗹𝗲)

(Warning : This is a very long posting. Hope you can persevere reading it)

Sambungan transkrip perbualan aku dengan scammer 2 :
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 : “Kamu masih nak menafikan jenayah kamu ini? Kamu kata bukan kamu tetapi waran penangkapan terhadap suspek (nama dan ic aku) yang beralamat di No. 561, Lorong Mekanikal 2, Jalan Teknologi, Taman Nilai Perdana, 71800 Nilai, Negeri Sembilan telah pun dikeluarkan. Pihak polis akan membuat penangkapan suspek serta merta dan membawa kamu ke IPK Kelantan untuk siasatan dan tahanan reman selama 45 hari.”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Jangan la tuan, saya tak bersalah tuan, memang saya tak pernah terlibat pun hat semua benda tuan cakap tu, jangan la tangkap saya, 45 hari tu kesian la kat family saya, tolong lah saya tuan, rasa nak menangis dah ni tuan (aku buat2 tarik hingus )”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 : “Kamu adalah seorang suspek, saya tak boleh percayakan sahaja cakap kamu. Tetapi memandangkan kamu yang menghubungi pihak polis kerana ic kamu digunakan orang, saya akan cuba bantu membuat siasatan.”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Oh terima kasih lah tuan, tuan lah harapan saya sekarang ni, tolong saya tuan”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Saya akan sambungkan awak ke pegawai penyiasat Sarjan Mejar Mohd Fitri untuk meneruskan siasatan. Peringatan sekali lagi semua perbualan ini adalah tertakluk di bawah akta rahsia negara, sekiranya kamu di dapati membocorkan semua maklumat perbualan ini kepada mana-mana individu termasuk keluarga atau sesiapa sahaja, maka kamu dan pihak tersebut akan dikenakan hukuman penjara selama 3 tahun. Jadi pastikan sekarang ini kamu berseorangan dan tiada sebarang orang di sekeliling kamu. Faham?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Ya tuan saya faham, memang la ni saya dok sorang2 ja dalam rumah ni. Mujur la kebetulan bini saya hari ni ada pak menakan pupu belah tok wan dia buat makan2, anak2 ikut pi sekali. Saya tadi ada program kat balai raya taman ni, tu yang tak ikut pi tu.”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 : “ Baik selepas ini saya akan sambungkan kamu dengan Sarjan Mejar Mohd Fitri dan sila sebutkan nombor kes kamu ini. No. kes : 420/05548. Maklumkan kepada beliau bahawa kamu adalah suspek yang dihantar oleh saya Sarjan David no. badan : RS161864 untuk menyiasat kes 420/05548, jelas?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Ok tuan, saya faham tuan.”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Ingat ya, status kamu sekarang ini adalah seoarang suspek. Pastikan bila ditanya oleh SM Mohd Fitri nanti apakah status kamu, katakan saya seorang suspek. Apa status kamu?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Saya seorang suspek tuan”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“OK sekarang saya akan sambungkan kamu ke SM Fitri ”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Baik terima kasih tuan”
(Hat ni aku dah pelik, aku syak “saya seorang suspek” ni adalah keyword untuk depa trigger hypnosis untuk minda para sedar mangsa2 scam depa. Sebab tu dia asyik doh suruh ulang ja perkataan tu.)
Sekarang ni transkrip perbualan aku dengan Scammer 3 :
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : “Sarjan Mejar Mohd Fitri di talian.”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Macam ni sarjan, saya ni Sarjan David yang sambungkan ke sini sebab nak minta tolong sarjan untuk siasat kes saya ni, no. kes : 420/05548 “
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : “420/05548 ya, Oh ni kes jenayah ni, ada sarjan David maklumkan apa-apa?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Ada la dia cakap ic saya ni terlibat dengan kongsi gelap geng 21 ka geng 27 pun tak tau.”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : “Nama kamu (nama penuh dan ic)?. Mengikut semakan saya terdapat satu waran tangkap yang telah dikeluarkan oleh IPK Kelantan untuk penangkapan segera kerana terlibat dengan kumpulan kongsi gelap Liew Soon Hee dan penggubahan wang haram sebanyak RM1.48 juta, dan perlu ditahan reman selama 45 hari untuk membuat penyiasatan.”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Saya tak bersalah sarjan, sapa dia liew apa nama tu pun saya tak kenai.”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : “Mengikut fakta kes, kamu mempunyai satu akaun di Hong Leong Bank cawangan Puchong yang di dapati membuat penggubahan wang haram sebanyak RM 1.48 Juta. Pihak polis telah membuat sekatan akaun tersebut dan berjaya merampas RM 1.33 Juta sahaja. Baki lagi RM 148 Ribu di dapati telah hilang dari akaun tersebut. Kamu sebagai pemilik akaun dikehendaki oleh pihak penyiasat untuk mengesan wang RM148 Ribu tersebut.”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Saya tak tau apa sarjan, tadi pun saya dah bagitau sarjan David akaun tu daftar pada 14 / 1/ 2021 kat Puchong, time tu PKP tak boleh lintas sempadan, saya dok Taman Nilai Perdana, memang bukan saya lah yang pi bukak akaun Hong Leong Bank kat Puchong tu.”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : “Kamu faham tak situasi kamu sekarang ini?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Situasi saya, saya kena fitnah la sekarang ni, saya ni walaupun tak la baik mana, tapi saya ingat pesan orang tua, biar hidup susah asalkan halal jangan hidup mewah tapi makan benda haram.” (hat ni ayat makan dalam tuju kat depa scammer)
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : “Kamu sekarang ini adalah suspek bagi kes melibatkan kongsi gelap yang di ketuai oleh Datuk Seri Micky Liew Soon Hee yang bergiat aktif di Malaysia, Singapura dan Hong Kong berkaitan penggubahan wang haram RM 1.48 Juta dan suspek untuk kehilangan baki wang rampasan RM 148 Ribu.”
- 𝗔𝗸𝘂 : “ Tu dia, bukan kaleng2 kongsi gelap ni, level international. Tapi saya confuse satu perkara, tadi sarjan cakap duit hat Datuk Micky apa nama tu songlap RM 1.48 juta, polis dah rampas RM 1.33 juta saja. La ni polis dok cari lagi RM 148 ribu, hat tu polis suspek saya la yang bawak lari duit tu. Soalan saya mana pi lagi RM 2 ribu? Hat tu sapa pulak yang songlap? 1.48 juta tolak 1.33 juta = 150 ribu.”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : “Kamu ingat ini perkara main2? Kamu waras ke? Kamu tengah ambil barang ke? (dia ingat aku tengah dok hisap gam cap dunlop la kot). Kamu kena ingat kamu itu adalah suspek bagi kes yang sangat berat. Jika sabit kesalahan, kamu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun penjara dan semua aset2 dan harta2 kamu akan disita.”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Oh maaf2 sarjan, saya rasa gula dalam badan tengah low kot. Tu yang jadi merapu tak tahuan, saya nak pi bancuh kopi radix dulu boleh dak?”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : “Kamu kena ingat perbualan siasatan sekarang ini adalah rahsia dan tidak boleh didengari oleh sesiapa sahaja termasuk keluarga kamu.”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Tak pa sarjan, saya memang dok sorang ja kat rumah la ni. Anak2 dengan bini tak dak rumah depa pi rumah pak menakan pupu belah tok wan bini saya.”
- (Masa ni mesin air cuckoo bunyi : “Maximum temperature…non-stop flow”)
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : “Encik berada di mana ni? Suara siapa tu?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Eh bukan sarjan, tu bunyi mesin penapis ayaq cuckoo, hat ni model jenih tankless dia memang keluaq suara, tengok saya tekan lagi, ‘hot water….water is being heated…one cup dispensing…be careful it is hot…..’sarjan dengaq dak tu bunyi ayaq dok masuk cawan saya.”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : “Kamu kena ingat siasatan ini adalah di bawah akta…bla…bla..blaa” (dia dah mula berleter sebut akta rahsia, akta siasatan, tak boleh bocor, kalau bocor semua kena tangkap masuk jail)
- 𝗔𝗸𝘂 : “Baik sarjan saya dah masuk bilik balik dah, dah lock pintu”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : “Sekarang ini kamu adalah suspek yang disyaki melarikan wang sebanyak RM 148 ribu. Jadi kamu kena buktikan bahawa wang RM 148 ribu itu tidak berada dalam mana-mana akaun kamu. Kamu ada berapa akaun bank?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Saya ada satu akaun Bank Simpanan, satu lagi akaun Bank Pertanian”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : ”Berapa baki?Ada akaun lain lagi?ASB?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Hat Bank Simpanan ada dalam 40K, hat Bank Pertanian dalam 25K , ASB saya punya takdak, tapi bini saya ada ASB berapa baki tu tak tau la saya.” (saja boh umpan kata ada duit dalam bank nak tengok akai depa)
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : ”Kamu adalah seorang suspek kes jenayah yang mempunyai waran tangkap untuk penangkapan serta merta, kamu mempunyai dua pilihan. Pilihan pertama adalah penangkapan reman selama 45 hari untuk di soal siasat di IPK Kelantan. Ataupun pilihan kedua kamu perlu membuat penyiasatan keatas kesemua akaun kamu bagi membuktikan bahawa wang RM148 ribu tiada dalam akaun kamu. Sekarang ini kamu pilih yang mana? Tahanan reman 45 hari atau siasatan ke atas akaun?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Ishk, jangan lah tangkap saya sarjan, 45 hari tu kesian anak bini saya. Saya pilih option nombor 2.”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : “Disebabkan kamu memilih untuk membuat penyiasatan ke atas akaun, saya akan menyerahkan kamu kepada pihak atasan saya Inspektor Phang untuk menjalankan siasatan. Semasa bercakap dengan Inspektor Phang pastikan kamu memanggil beliau sebagai Tuan, dan jika ditanya apakah situasi kamu, katakan ‘saya adalah seorang suspek’ dan ingin memohon untuk membuat siasatan keatas akaun saya. Faham?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Baik, saya faham sarjan.”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : “Ingat ya apakah situasi kamu?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Saya adalah seorang suspek sarjan.” (rasanya betoi dah mesti ni keyword untuk trigger hypnosis depa)
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟯 : “Sediakan juga semua butiran akaun bank dan kad bank kamu untuk dinyatakan bila diminta.”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Baik tuan.”
Sekarang talian dah bertukar ke Scammer ke 4 :
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟰 : “Hello.”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Hello, saya Rahman, tadi Sarjan Mejar Mohd Fitri Bin Yahaya sambungkan saya untuk bercakap dengan tuan inspektor….?”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟰 : “Saya Inspektor Phang, ada apa urusan?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Ya Tuan Inspektor Phang, saya nak minta buat siasatan kewangan untuk kes saya no. kes : 420/05548.”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟰 : “OK kamu tahu apakah situasi kamu?”
- 𝗔𝗸𝘂 : Ya, saya ni dah kena fitnah, mula tu ada orang guna ic saya register unifi kat Kelantan. Lepas tu depa buka akaun Hong Leong Bank kat Puchong, lepas tu depa pi songlap RM 1.48 Juta pulak, dah kantoi dengan polis depa bawak pelari RM 148 ribu pulak, la ni semua dok cari RM 148 ribu tu pi mana, tapi hat RM 2 ribu pun hilang jugak, tak dak sapa pun dok tanya.”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟰 : “Kamu cakap apa ini? Kamu OK tak? Kamu tahu tak apakah situasi kamu?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Tak tau lah tuan, saya rasa serabut pala, berbelit macam2 benda dok jadi hari ni. Lepas satu…satu benda dok mai, tak tau nak wat lagu mana.”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟰 : “Ikut butiran kes no. 420/05548, kamu ini adalah suspek bagi kes membabitkan pengggubahan wang haram sebanyak RM 1.48 juta oleh sindiket Liew Soon Hee. Kamu tahu apakah situasi kamu dalam kes ini?” (sah, memang confirm “saya adalah seorang suspek” ni keyword untuk trigger hipnosis depa)
- 𝗔𝗸𝘂 : “Tu lah macam saya kata tadi, saya ni kena fitnah, tak tau la sapa la yang khianat sangat pi guna ic saya dok buat benda2 haram ni. Saya tak penah dok kacau orang pun, orang ja dok kacau saya. Saya memang dok pegang falsafah biaq lah orang buat kat kita jangan kita buat kat orang.
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟰 : “Kamu tahu tak maksud suspek itu apa?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Haa?, you nak tau maksud dia ka?”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟰 : “You? Kamu ingat kamu sedang bercakap dengan siapa?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Ops silap, Tuan, maaf Tuan Inspektor Phang. Kalau maksud suspek, sat saya check google, ok , suspek bermaksud orang yang disyaki melakukan jenayah”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟰 : “Kamu tahu tak apakah situasi kamu?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Adoi la, pi mai pi mai tang tang tu jugak, kan saya dah habaq tadi saya ni kena fitnah jadi orang kanan geng 21, kira saya ni macam Shark la, tak pun Tailong, kalau Malik dia geng 77. Ha tau dah, jadi Malik la yang bawak pelari 2 ribu tu.”(Masa ni bini aku masuk bilik dok suruh berenti layan puak scammer ni) “Sat la, lagi sikit ja ni nak boleh tau dah cara depa nak ambik duit tu lagu mana”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟰 : “Kamu cakap apa ni? Kamu bercakap dengan siapa tu?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Eh tak lah, saya tengah dok tengok drama kat tv ni, tercakap kuat pulak, sori eh”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟰 : “Kamu ingat ini benda main2, kamu adalah seorang suspek yang telah dikeluarkan waran tangkap untuk tahanan reman serta merta selama 45 hari bla bla bla akta rahsia bla bla bla penjara bla bla ………..(aku dah angin malas nak dengaq)
- 𝗔𝗸𝘂 : “Hang ni memang betoi la, saja buat aku stress, dok ulang , ulang , pi mai, pi mai , dok tanya apakah situasi kamu , apakah situasi kamu sampai ke sudah, hat tu ja hang dok tanya”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟰 : “Kamu cakap apa ni?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Hang ni lain kali kena turun pangkat, tak boleh jadi Inspektor, kena bagi Sarjan David jadi Inspektor, hang turun jadi Konstable dah la, nak scam orang kena pandai cakap macam David dengan Mohd Fitri tadi, depa ada lah jugak skill. Aku dah ready nak bagi no akaun. Nah ambik la sekarang akaun BSN : 204560789123. No kad ATM 5098 0804 9650 6503 exp: 07/26 cvt : 356 no pin : 987654 dalam tu ada la dekat 40 ribu”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟰 : “tut….tut…..tut……tut….”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Eh, dah letak call dah. Memang dasar makan gaji buta punya scammer. Tak mau duit ka, adoi lah, stress aku.”
𝗧𝗛𝗘 𝗘𝗡𝗗

0 komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP