Isnin, 27 Jun 2022

KISAH AKU DAN SCAMMER (EPISODE 2)

 (Warning : This is a very long posting. Hope you can persevere reading it)

Sekarang ni transkrip perbualan aku dengan scammer 2 pulak, masih guna no tel 010-8929520 :
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 : “Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kelantan, boleh saya bantu?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Saya sebenaqnya tadi Puan Corrina dari TM Kuala Lumpur yang sambung saya mai sini,nak suruh buat report ada orang salah guna ic saya”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 : “Puan Corrina ya, ada dia berikan apa-apa maklumat tak?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Oh ada, dia cakap ada orang guna ic saya pi daftar akaun unifi kat Kelantan tu. Dia bagi la nombor akaun tu : 1060703518”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Ada apa-apa maklumat lain lagi?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Sat tuan, sebelum tu boleh dak saya tau tuan ni sapa?”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Saya Sarjan David dari IPK Kota Bharu”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Haa betoi, tadi Puan Corrina tu suruh saya report kat Sarjan David, sarjan saja yang boleh tulong saya, takut pulak kot-kot pi cerita kat orang lain, ok macam ni sarjan, Pn Corrina tu ada bagi kronologi kat saya (aku cerita la macam hat sebelum ni)”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Adakah encik ini bernama (nama penuh aku) no kp (no ic aku)?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Haa betoi, macam mana sarjan boleh tau nama saya,terer betoi saya tak dan bagitau pun lagi?”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 : “Saya telah membuat semakan berdasarkan no akaun unifi 1060703518, akaun ini di daftarkan atas nama (nama dan ic aku) pada 13/2/2022 di pejabat TM cawangan Kota Bharu”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Oh lagu tu pon polis boleh tau detail sat ja na, cekap betoi polis Kota Bharu ni, canggih…canggih, polis Nilai pun tak tara ni rasanya”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 : “Sekarang encik Rahman, saya akan mengambil report encik ini secara rakaman suara ya, encik tahu mengguna aplikasi google?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Kalau google saya tahu sarjan, dulu penah la pi kursus kat INTAN Bukit Kiara ada depa ajaq guna google ni”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 : “Sekarang taip IPK Kelantan dan tekan search, klik link yang pertama sekali rmp.gv.my tu, dapat buka tak?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Ok baik sarjan, saya dah masuk ni, dia keluar direktori pdrm”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 : “Sekarang cuba encik semak no telefon IPK Kelantan yang tertera tu, 09-7455622 betul?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “09-7455622 , ya betul sarjan”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Selepas ini saya akan mematikan talian ini dan akan membuat panggilan semula menggunakan nombor IPK Kelantan ini baru boleh buat laporan berdasarkan rakaman suara. Pastikan nombor panggilan adalah sama dengan nombor IPK Kelantan baru encik jawap”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Baik, saya faham sarjan”
24 Jun 2022 jam 16:57 dapat panggilan dari no tel +87097455622 :
- 𝗔𝗸𝘂 : “Hello, ni sarjan David ka?”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Ok encik Rahman, cuba encik semak nombor panggilan yang kamu terima ini. Berapa nombor dia, adakah sama seperti no tel IPK Kelantan?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Jap saya check, ha betoi sarjan, tapi kat depan dia tu ada +87”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Nombor +87 itu ialah kod telefon untuk membolehkan rakaman suara boleh dilakukan, yang penting nombor 097455622 itu adalah seperti no tel IPK Kelantan. Nombor nya sama kan encik Rahman?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Sama sarjan, memang betoi sama nombor ni dengan hat dalam website”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 : “Ini menunjukkan bahawa panggilan ini adalah benar-benar dari pihak IPK Kelantan ya encik Rahman (pandai depa psiko). Sebelum tu saya nak tanya berapa peratus bateri handphone encik sekarang?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Rasanya dok ada dalam 40% lagi kot, 2 ka 3 jam boleh tahan lagi ni”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 : “Rakaman ini akan mengambil masa yang lama ya encik Rahman, sila pastikan bateri handphone encik dapat bertahan selagi rakaman belum selesai. Sila ambil maklum bahawa rakaman ini di bawah akta rahsia rasmi dan tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak ketiga selain daripada pihak pengadu. Sekiranya terdapat suara orang lain, rakaman akan terbatal dan encik boleh dikenakan dakwaan membuat laporan palsu. Faham ye encik Rahman? Encik berada di mana sekarang ni?
- 𝗔𝗸𝘂 : “Saya la ni dok dalam bilik sorang2 ja, memang tak dak sapa”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 : “Sekarang saya akan mengambil report ye encik Rahman, sila nyatakan nama, ic,alamat dan semua butiran seperti yang encik ceritakan tadi”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Nama saya (nama dan ic), tinggai di No. 561, Lorong Mekanikal 2, Jalan Teknologi, Taman Nilai Perdana, 71800 Nilai, Negeri Sembilan. Saya nak melaporkan (aku cerita balik semua hat scammer1 bagitau)
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 : “Ok ic encik Rahman telah disalahgunakan ya, encik pernah tak kehilangan ic”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Tak pernah sarjan, kita ic memang jaga sungguh-sungguh la, dah muka pun tak berapa nak segak, kalau hilang ic sat lagi depa ingat pendatang tanpa izin pulak”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Encik pernah memberikan apa-apa maklumat peribadi encik kepada mana-mana pihak ketiga seperti pihak bank dan sebagainya?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Oh kalau urusan bank memang ada lah, duit cash tak dak nak beli kereta, kena la buat loan”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Encik ada tak mengambil 4 langkah-langkah keselamatan yang digariskan pihak Bank Negara Malaysia?” (depa ulang skrip yg sama)
- 𝗔𝗸𝘂 : “Rasanya macam dak kot, saya pun tak tau ada 4 langkah apa nama...keselamatan?”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Encik bekerja sebagai apa?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “ Saya ni pengajar kemahiran Mekatronik kat Nilai College”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Pengajar kemahiran Nilai College, jadi pensyarah lah ye?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Memang depa dok panggil pensyarah, tapi saya la segan nak mengaku, sebut pengajar kemahiran dah la”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Encik sebagai seorang pensyarah, kenapa encik tidak mengikut 4 langkah-langkah keselamatan yang digariskan BNM semasa membuat apa-apa urusan dengan pihak ketiga? Sepatutnya pensyarah mesti lebih bertanggungjawab terhadap data peribadi yang diserahkan kepada pihak ketiga”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Jangan marah saya sarjan, saya pun tak tau nak kata apa, tadi dah kena sound dah dengan puan Corrina, ni sarjan pulak sound saya”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 : “Disebabkan encik tidak mengambil 4 langkah-langkah keselamatan, data peribadi encik sudah disalahgunakan oleh pihak lain. Mujur lah yang ini hanya buka akaun unifi sahaja di Kelantan. Kalau ada yang gunakan untuk membuat jenayah, macam mana?” (depa dah mula nak main psiko)
- 𝗔𝗸𝘂 : “Ok sori..sori saya salah sarjan, saya janji lenkali tak buat lagi dah”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 : “Baik sekarang saya akan menghantar maklumat encik ini kepada unit teknologi maklumat Bukit Aman untuk mengesan sekiranya terdapat kes-kes lain penyalahgunaan ic encik ini”
- Lepas tu macam dia dok cakap kat walkie-talkie dengan pegawai Bukit Aman, buat2 cakap kuat2 nak bagi aku dengaq. Aku tak ambik port sangat pasai dah tau depa buat drama ja tu. ada dengaq sikit2. Si sarjan David ni suruh check ic aku, yang Bukit Aman tu bagitau ic aku ada la waran tangkap kot pasai terlibat jenayah sindiket kongsi gelap dan penggubahan wang haram, lagu tu la lebih kurang.
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Encik Rahman? kamu dengar tak maklumbalas dari unit teknologi maklumat Bukit Aman tadi?” (masa ni intonasi nada suara dia dah kasar sikit, depa mula nak psiko)
- 𝗔𝗸𝘂 : “Ishk, maaf la sarjan, saya ni telinga tak berapa nak dengaq, seminggu dah tak dok korek buang taik telinga, hat pengorek beli kat diy hari tu mana pi pun tak tau”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Semakan dengan Bukit Aman mendapati ic bernombor (ic aku) di bawah penama (nama aku) terlibat dengan satu kes penglibatan kongsi gelap di bawah geng Liew Soon Hee serta penggelapan wang haram sebanyak RM 1.48 Juta ringgit yang dimasukkan ke dalam akaun Hong Leong Bank kepunyaan (nama aku). Waran tangkap telah dikeluarkan dan suspek perlu ditangkap dengan segera”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Allahhu Robbi, tu bukan saya tu sarjan. Saya Hong Leong Bank pun tak pernah jejak kaki masuk, dok besa tengok ja kat pekan Seremban tu ada satu”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Betul ini bukan kamu? Akaun Hong Leong Bank ini di daftarkan atas nama (nama aku) no kad pengenalan (ic aku) di Hong Leong Bank cawangan Puchong pada 14 Januari 2021”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Oh time PKP la tu, masa tu kan tak boleh rentas negeri,kira clear lah ni, dah tentu la bukan saya yang pi bukak akaun di Puchong tu”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Encik Rahman, kamu sedar tak kamu sekarang ini adalah suspek yang telah dikeluarkan waran tangkap?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Saya faham tu sarjan, tapi yang buka akaun tu bukan saya, time tu PKP saya dok Nilai, bank tu kat Puchong, time tu mana boleh nak rentas sempadan, Neelofa dengan laki dia mai Nilai masa tu pun kena naik mahkamah Seremban.”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟮 :“Kamu faham tak, kamu sekarang ini adalah seorang suspek? Pihak polis mestilah perlu menangkap kamu untuk membuat siasatan. Memang suspek akan menafikan semua jenayah yang dia buat. Kamu rasa perlu ke saya mempercayai kata-kata seorang suspek?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Ishk, jangan lah macam tu tuan, saya takut ni. Saya memang tak bersalah tuan. Ini fitnah ja semua ni, itu bukan saya tu....”
𝗧𝗢 𝗕𝗘 𝗖𝗢𝗡𝗧𝗜𝗡𝗨𝗘
p/s : pergh..dah macam tulih novel dah...aku dah tak larat nak tulih...saja ja aku berenti kat sini..ending tergantung macam dok tengok cerita sinetron dari seberang...kasi saspen..saja ja nak seksa jiwa nak tau apa jadi selepas tu....har har har haruuun!!!

Ahad, 26 Jun 2022

KISAH AKU DAN SCAMMER (MACAU SCAM) EPISODE 1

𝗞𝗜𝗦𝗔𝗛 𝗔𝗞𝗨 𝗗𝗔𝗡 𝗦𝗖𝗔𝗠𝗠𝗘𝗥 (𝗘𝗽𝗶𝘀𝗼𝗱𝗲 𝟭)
(Warning : This is a very long posting. Hope you can persevere reading it)
24 Jun 2022 dapat call dari no. 010-8929520 jam 16:25. Inilah transkrip perbualan kami :
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 : “Ini notis panggilan dari TM makluman akaun unifi anda mempunyai tunggakan, sila tekan 9 untuk maklumat lanjut”.
- Lepas tekan 9 ada perempuan jawap kata staff TM Kuala Lumpur, dia minta pengesahan, aku bagitau “nama saya Rahman”, lepas tu dia terus sebut nama penuh dan 4 digit akhir ic. Bila aku iyakan 4 digit ic tu, terus dia bacakan nombor ic full.
- So scammer yang call kita tu rupanya memang ada detail no tel,nama sebenar dan no ic sebenar kita
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 :“Encik mempunyai tunggakan 4 bulan akaun unifi sebanyak RM 597.00”
- 𝗔𝗸𝘂 :“Bil unifi saya buat autopay dari akaun bank,check tengok tiap bulan ada potongan mustahillah ada tunggakan”.
- Lepas tu dia suruh bagi nombor akaun unifi nak buat semakan,
- 𝗔𝗸𝘂 : “Nombor akaun saya tak ingat tapi nombor telefon ingatlah 06-***** “( hantam saja no tel bagi kat dia). Lepas tu konon dia check dalam sistem.
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 : “Akaun encik yang ini memang tiada tunggakan tetapi encik ada akaun unifi satu lagi yang tertunggak 4 bulan sebanyak RM 597.00”
- 𝗔𝗸𝘂 :“Puan salah orang ni, saya ada satu ja akaun unifi”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 : “Ini akaun encik kan, no akaun : 1060703518 yang didaftarkan atas (nama penuh dan ic sebenar saya) pada 13/2/2022 di pejabat TM cawangan Kota Bharu Kelantan. Alamat : No.59, Jalan Bayam, Bandar Kota Bharu, 15200 Kota Bharu, Kelantan. No. tel : 09-7576673”.
- 𝗔𝗸𝘂 :“Tu dia aih, ni rumah sapa pulak kat Kelantan ni, puan jangan fitnah saya”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 : “Akaun unifi ini di daftarkan atas nama encik, kenapa encik nafikan pulak?”.
- 𝗔𝗸𝘂 : “Saya ni Kelantan pun tak pernah sampai puan, kereta pun tak dak dah kena tarik tonto, dok pi kerja tiap hari pun tumpang jiran,tempat kerja kami satu jalan,tu bukan saya tu, kebetulan ja nama sama macam saya kot”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 : “Tetapi dalam sistem pengkalan data TM, akaun ini didaftarkan atas nama encik (nama penuh dan no ic sebenar). Encik sekarang berada di mana?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Saya la ni dok kat rumah saya kat Negeri Sembilan, jauh betoi sampai pi Kelantan nak pasang unifi nu.”
- (mulanya ingat nak cakap dok sabah, tapi teringat tadi masa bagi no tel tipu tu kepala dia 06-Negeri Sembilan sat lagi kantoi pulak kita pun tengah dok scam dia jugak)
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 : “Encik ada pernah kehilangan ic?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Masa tahun 1994 dulu penah la hilang ic, tapi masa tu ic merah hat boh mesin laminate tu ja, tak kan la depa boleh guna pi register unifi kot?”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 : “Encik pernah tak serahkan salinan ic kepada mana-mana pihak ketiga?”
- 𝗔𝗸𝘂 :“Kalau salinan ic hat baru memang ada pernah bagi bank, teringin nak pakai kereta ngan rumah tapi tak mampu duit tak dak kena lah buat loan”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 :”Encik ada ambil 4 langkah keselamatan yang digariskan oleh BNM?”
- 𝗔𝗸𝘂 :“4 langkah menatang apa pulak tu? tak tau la saya”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 : “Semasa encik serahkan salinan ic adakah encik membuat palang pada salinan tersebut atau menulis apa-apa maklumat tujuan kegunaan?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Seingat saya tak pernah buat kot, selalu dok bagi lagu tu ja”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 : “Encik bekerja sebagai apa?”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Saya ni pengajar kemahiran kat Nilai College”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 :“Sebagai seorang pengajar kenapa encik tidak mengambil 4 langkah-langkah keselamatan yang digariskan oleh BNM semasa membuat urusan bank?”
- 𝗔𝗸𝘂 :“Saya tak tahu puan”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 : “Mana boleh begitu, encik sebagai seorang pengajar sepatutnya lebih bertanggungjawab ke atas keselamatan data peribadi encik. Tengok macam sekarang, data encik telah disalah gunakan oleh pihak ketiga dan mendaftar akaun unifi (dia ulang balik hat Kelantan tu).”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Maaf puan, saya tak tau. Saya ni memang dulu kecik-kecik mengaji ni lembab sikit, PMR pun lulus cukup makan ja, nasiblah dapat masuk Giat Mara. Lepas tu pi IKM Beseri buat SKM Mekatronik, Lepas tu dapat masuk CIAST, Alhamdulillah la ni dapat jugak jadi pengajar kemahiran kat Nilai College”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 : “Baik lah macam ini encik, pejabat TM Kuala Lumpur boleh membantu encik untuk mengubah nama encik dalam sistem sebagai bukan pemilik bagi akaun (gigih di baca semua data unifi Kelantan tu). Encik perlu membuat satu laporan polis dari IPD Kota Bharu sebelum pukul 6 petang hari ini untuk membolehkan encik mendapat pengecualian supaya tidak bertanggungjawab terhadap tunggakan bagi akaun tersebut”
- 𝗔𝗸𝘂 :“Tu dia aih, awat jauh sangat sampai nak kena pi Kelantan nu?. Kalau saya buat report kat balai polis Nilai hat depan rumah saya ni ja tak boleh ka?”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 :“Tak boleh encik, sebab akaun ini di daftarkan di Kota Bharu. Pihak polis Kota Bharu yang akan membuat siasatan di alamat : No.59, Jalan Bayam, Bandar Kota Bharu, 15200 Kota Bharu, Kelantan dan membuat tangkapan sekiranya terdapat penyamar yang menggunakan data ic encik ini. Penyamar yang menggunakan ic encik ni sudah pasti berada di alamat berkenaan kerana akaun unifi 1060703518 ini berstatus aktif.”
- 𝗔𝗸𝘂 :“Betoi jugak hat puan cakap tu, la ni lagu mana? Saya memang tak dapat lah kalau nak kena pi Kota Bharu tu”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 : “Saya faham encik, kami di pejabat TM Kuala Lumpur memang nak membantu encik supaya encik tidak perlu bertanggunggjawab terhadap akaun yang bukan hak milik encik.
- 𝗔𝗸𝘂 :“Terima kasih banyak lah puan, sanggup membantu saya. Kalau tak jenuh jugak la saya macam mana nak pi Kelantan sebelum pukoi 6 petang ni?. La ni pun dah dekat pukoi 5 dah”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 : “Saya akan menyambungkan encik ke Sarjan David dari IPK Kelantan untuk membuat laporan berkenaan salah guna ic encik ini. Semasa bercakap dengan Sarjan David nanti pastikan encik beritahu hendak mohon bantuan IPK Kelantan untuk membuat siasatan siapa yang menggunakan ic encik, macam mana diaorang dapat ic encik, siapa yang berada di premis alamat tersebut.dan minta diaorang faks kan laporan ke pejabat TM kuala Lumpur.”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Ok baik puan, tapi siapa nama puan ya?. Nanti kalau saya cakap dengan Sarjan David mesti dia tanya macam mana saya boleh tahu ic saya di salah gunakan?”
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 : “Saya Puan Corrina dari pejabat TM Kuala Lumpur”
- 𝗔𝗸𝘂 :“Oh puan Corrina je, a/p?,a/k? surname?
- 𝗦𝗰𝗮𝗺𝗺𝗲𝗿𝟭 : “Puan Corrina staff id : TM20929 dari pejabat TM Kuala Lumpur. No faks : 03-22832415. Sekarang saya akan menyambungkan encik kepada IPK Kelantan. Sila ceritakan dengan detail semua perkara yang saya sebutkan tadi”
- 𝗔𝗸𝘂 : “Oh baik lah, terima kasih daun keladi ye puan”
𝗧𝗢 𝗕𝗘 𝗖𝗢𝗡𝗧𝗜𝗡𝗨𝗘
p/s: aku dah malas nak tulih, esok baru sambung balik cerita aku dengan Scammer2 : Sarjan David , Scammer3 : Sarjan Mejar Mohd Fitri bin Yahaya , Scammer4 : Inspektor Phang dan Datuk Seri Micky Liew Soon Hee serta misteri wang RM 1.48 juta (hohoho pak cik kayo!!! )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP